Thursday, April 24, 2008

7 KELEBIHAN SABAR.....

7 KELEBIHAN SABAR.....

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud : “dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Pengajaran :

1. Sabar adalah sifat mulia (mahmudah) yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam.
2. Untuk memiliki sifat sabar, perlulah ada latihan yang berterusan.
3. Orang yang berusaha melatih dirinya bersabar dan terus bersabar adalah orang dikasihi serta dekat dengan Allah s.w t. Allah memandangnya dengan pandangan rahmat.
4. Orang yang banyak bersabar dalam membentuk dirinya untuk menjadi seorang penyabar (as-Sobirun), tidak akan disia-siakan Allah. Akhirnya, ia akan ditulis di sisi Allah sebagai hamba yang penyabar.
5. Apabila seseorang memiliki sifat sabar, maka ia telah memiliki kebaikan dan keuntungan yang banyak.
6. Apabila seseorang dianugerahkan sifat sabar, maka ketahuilah bahawa Allah taala mahu memberikan kepadanya manfaat yang besar lagi luas, berpanjangan dari dunia sampai akhirat.
7. Antara keutamaan sifat sabar ialah:
a. masuk syurga tanpa hisab (perhitungan)
b. diampunkan dosa-dosa yang lalu
c. memilliki iman yang sejati.

Monday, April 14, 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

Hadis ini berkaitan dengan faedah membaca Al-Quran, yang mana ia merupakan sebesar-besar ibadat yang boleh dilakukan oleh seseorang muslim. Pahalanya bukan saja besar, malah berganda-ganda pula. Hadisnya:

عَنْ إمام ترمذي أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ تَعَالى فَلَهُ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُوْلُ آلـم حَرْفٌ وَلَكِنْ اَلِفُ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ.

Maksudnya :
Sabda Rasullullah S.A.W : “ Barangsiapa yang membaca suatu huruf dari Kitab Allah(al-Quran), maka baginya suatu hasanah(kebajikan), dan tiap-tiap kebajikan itu berganda menjadi sepuluh kali ganda sepertinya. Aku tidak kata AlifLamMim suatu huruf saja, malah alifnya adalah satu huruf, lamnya satu huruf dan mimnya juga satu huruf ”(Riwayat Tirmizi)

Cuba anda perhatikan betapa membaca al-Quran al-Karim itu boleh mengumpul kebajikan yang begitu banyak. Suatu kebajikan digandakan oleh Allah Taala menjadi sepuluh kali ganda atas tiap-tiap huruf yang kita baca dari al-Quran al- Karim itu. Berapa huruf yang terungkap oleh tiap-tiap surah, sudahkah anda menghitungnya? Tentulah ada yang beratus-ratus dan ada pula yang beribu-ribu huruf mengikut panjang-pendeknya surah itu. Malah,jika dibaca suatu juzu’ tiap-tiap hari,misalnya, tentulah huruf-hurufnya melebihi belasan ribu, dan apabila diganda pula dengan sepuluh kali ganda menjadi ratusan ribu kebajikan.

Betapa besar faedah dan pahala yang akan diperoleh seorang muslim dalam membaca ayat-ayat suci al-Quran al-Karim. Sebab itulah para salihin sering menentukan suatu masa yang tetap setiap hari untuk membaca al-Quran dan merenungi segala yang tersurat dan tersirat di dalam ayat-ayat suci itu, kerana mereka merasakan seolah-olah Allah Taala berkata-kata dengan mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w :
"أَفْضَلُ عِبَادَةِ أُمَّتِيْ تِلاَوَةُ الْقُرْآنِ"
Maksudnya:
“ Seutama-utama ibadat umatku ialah membaca al-Quran”


Sabdanya yang lain pula:
"خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ"
Maksudnya:
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya pula”

Ternyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang utama bagi seorang Muslim, yang mana tidak patut kita melengahkannya. Rebutlah peluang ini bila ada masa,misalnya di sebelah pagi sesudah solat subuh, ataupun sesudah solat maghrib sementara menunggu isya’ dan sebagainya. Dan jangan lupa untuk ajarkan anak-anak kita membaca al-Quran kerana pada zaman kini terdapat ramai anak-anak yang tidak tahu membaca al-Quran,malah tidak mengenali langsung huruf-huruf al-Quran, padahal persediaannya untuk belajar ada, hanya tidak atau belum disuruh atau digalakkan. Oleh itu, sama-samalah kita mengambil berat dalam hal ini, semoga ALLAH merahmati kita semua dunia dan akhirat. Sekian, wassalam.

Tuesday, April 8, 2008

AHLAN WASAHLAN....

ASSALAMUALAIKUM...
Ahlan wasahlan kepada semua pembaca-pembaca yang sudi memasuki ke blog ini.
Pertamanya saya ingin merafa'kan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas kurnia nikmat dan inayahnya.
Di sini, saya ingin berkongsi ilmu bersama anda semua mengenai ilmu-ilmu hadith, yang mana ia amat bermanfaat buat kita semua. Di harap, dengan adanya blog ini,segala ilmu dapat kita kongsi bersama dengan berbincang dan saling bertukar pendapat serta idea...dan juga mempraktikkan ilmu yang ada ke dalam kehidupan kita semua. Semoga Allah memberkati kita semua!!!
Syukran.....